Oleh ROHANA MAN
rencana@kosmo.com.my
Bangkok, sebuah ibu kota yang sesak sehinggakan kami terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke hotel di Jalan Khaosan. Ayutthaya pula, sebuah kota purba yang kaya dengan runtuhan kuil yang berusia ratusan tahun.

SEORANG penari berpakaian tradisional Thai menyambut ketibaan pelancong di pentas terapung di Ratchaburi.
________________________________________
SEGALANYA seperti tidak menjadi. Banyak masalah tidak diduga muncul pada saat akhir pemergian kami ke 'tanah gajah putih'. Namun, saya bersama tiga rakan berjaya mengurus cabaran awal dengan baik. Hasilnya, dua daripada kami menaiki pesawat AirAsia manakala dua rakan lain menaiki keretapi dari Butterworth. Kami bertemu di Bangkok.
Menaiki pesawat hanya mengambil masa dua jam berbanding perjalanan keretapi yang memakan masa kira-kira 22 jam.
Hari pertama di Bangkok menyaksikan kami 'bergaduh' dengan pemandu teksi. Setelah gagal menemui hotel yang dicari, kami akhirnya menaiki sebuah teksi lain menuju ke Jalan Khaosan. Di sepanjang jalan ini, kami melihat puluhan hotel, bar, pusat hiburan dan rumah urut yang murah sekali gus menjadi tumpuan pengembara backpackers dari seluruh dunia.
Kami menginap di Siam Oriental Inn yang menawarkan bilik berhawa dingin pada harga RM39 satu malam. Pada malamnya, kami menjelajah kawasan sekitarnya dan sempat mencuba urutan kaki yang dikenakan bayaran RM12 untuk setengah jam. Terasa biasa sahaja, tiada yang istimewanya urutan ini. Mungkin kami pergi salah tempat.
Pasar terapung Damnoen Saduak
Kata orang, tidak lengkap jika tidak melawat pasar terapung di wilayah Ratchaburi. Dikenali sebagai Damnoen Saduak Floating Market, kami menyewa teksi pergi dan balik pada harga RM150. Perjalanan ke sungai itu memakan masa 1 jam 15 minit kerana jaraknya kira-kira 104 kilometer dari Bangkok. Kami terkejut kerana dikenakan tiket berharga RM100 seorang untuk lawatan dua jam di pasar terapung itu dengan menaiki Long Tail Boat. Mahu tidak mahu, terpaksalah kami membayarnya.

TRAFIK di pasar terapung Damnoen Saduak yang terletak di wilayah Ratchaburi sentiasa sesak dengan bot panjang yang dipenuhi muatan barangan jualan.
________________________________________
Di kiri dan kanan tebing sungai dipenuhi dengan gerai jualan pelbagai barangan daripada sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan segar, barangan siap seperti pakaian, kraftangan, cenderamata dan lain-lain. Menariknya, kebanyakan bot ini dikemudi oleh wanita!. Kami sempat singgah di sebuah pusat kraftangan tempurung kelapa dan menonton persembahan tarian tradisional Thailand. Terdapat lapan jenis tarian yang boleh dipilih dan kami memilih tarian Lao Ving.
Selesai lawatan ini, kami menaiki teksi yang sama menuju ke The Grand Palace di Bangkok. Setelah membayar tiket masuk berharga RM30 seorang, kami menjelajah seluruh kompleks istana yang terletak di kawasan yang dinamakan Ko Ratanakosin. Tarikan utamanya ialah istana raja yang hanya digunakan untuk majlis tertentu, Wat Phra Kaeo atau The Temple of the Emerald Buddha. Lawatan diteruskan ke restoran Cili Padi milik pasangan suami dan isteri dari Malaysia, Norliza Tahir dan Azizan Ibrahim. Kami menikmati makanan Malaysia yang menyelerakan.
Memandangkan petang masih muda, kami sempat singgah di beberapa buah pusat beli-belah di kota raya Bangkok seperti Platinum Fashion Mall. Di sini, segala jenis pakaian dijual secara borong.
Selain wajah-wajah tempatan, kami melihat pusat beli-belah ini dibanjiri oleh pelancong wanita Arab yang memborong sambil ditemani suami dan anak-anak.

MAKANAN eksotik seperti katak, lipas, cengkerik, belalang dan ulat yang digoreng laris dijual di sebuah pasar malam di Ayutthaya.
________________________________________
Malam semakin larut dan oleh kerana mahu menjimatkan belanja, kami menaiki bas untuk pulang ke hotel.
Menaiki bas awam di Bangkok memang menyeksakan. Bas bernombor 511 tidak pernah meluncur laju, sebaliknya bergerak seperti kura-kura. Setelah satu jam berdiri dalam keadaan bersesak, kami akhirnya berjalan kaki untuk balik ke hotel. Bertanyakan kepada seorang remaja lelaki yang kebetulan berdiri di sebelah saya, katanya, kami perlu berjalan sejauh satu kilometer untuk sampai ke Jalan Khaosan. Oleh kerana tersesat dan tersalah masuk lorong, perjalanan menjadi lebih jauh daripada yang dijangkakan. Memandangkan kepenatan, kami tidur awal kerana keesokan harinya, kami perlu menaiki bas pada awal pagi untuk ke Ayutthaya.

SUASANA sepi pada waktu pagi di Jalan Khaosan, Bangkok bertukar sibuk menjelang waktu malam.
________________________________________
Kota purba Ayutthaya
Seawal pukul 7 pagi, kami menaiki teksi menuju ke Northern Bus Terminal di Mor Chit. Sebaik tiba, kami terus menuju ke kaunter tiket dan petugas di kaunter itu menyuruh kami menunggu di terminal 113 atau 123. Ayutthaya pernah menjadi ibu negara Siam (nama lama Thailand) selama 417 tahun. Kami menaiki bas dari terminal 113.
Tambang bas berhawa dingin ini hanya RM5.50. Bas berhenti di beberapa lokasi sebelum tiba di Ayutthaya pada pukul 9.45 pagi. Agak lucu, kerana bas ini tidak berhenti di stesen, sebaliknya di tepi jalan. Kami hanya turun selepas seorang lelaki di luar bas mengetuk cermin tingkap di sisi tempat duduk saya dan menunjukkan isyarat supaya turun. Lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Yasin. Oleh kerana beliau kurang fasih berbahasa Inggeris dan hanya faham beberapa perkataan sahaja, ia menyukarkan kami mendapatkan maklumat lanjut tentang bandar purba ini. Dalam pada itu, Yasin memberitahu beliau beragama Islam dan memandu tut-tut, sejenis kenderaan roda tiga yang popular di Thailand untuk mencari rezeki.

SEORANG rakan bergambar di hadapan Wat Chaiwatthanaram yang berusia 378 tahun di Ayutthaya.
________________________________________
Saya dan Kak Kay sempat membeli beras di sebuah kedai berdekatan. Mungkin ada yang tertanya kenapa kami membeli beras? Jawapannya ialah, kami memasak di bilik hotel menggunakan periuk nasi yang dibawa. Lauknya terdiri daripada rendang, kari, kurma dan ayam masak merah segera Brahim. Kami lakukan ini untuk menjimatkan perbelanjaan.
Yasin menunjukkan senarai hotel yang dicadangkan sebelum membawa kami ke sebuah hotel. Malangnya, hotel itu telah penuh dan kami kemudian dibawa ke Jitvilai House. Nasib baik, bilik masih banyak dan bayarannya juga murah iaitu RM50 satu malam.
Di antara semua hotel yang kami menginap, inilah hotel yang paling baik. Ia bukan sahaja luas tetapi bersih dengan lantai jubin dan tilam yang empuk. Turut disediakan ialah televisyen dan almari solek berlaci. Untuk memudahkan lawatan kami, Yasin dengan rela hati menyerahkan tugas membawa kami melawat sekitar Ayutthaya kepada seorang rakannya yang fasih berbahasa Inggeris.
Dengan bayaran RM20 seorang, kami dibawa menaiki tut-tutnya melawat enam buah kuil purba, antaranya Wat Phra Si Sanphet (dibina pada tahun 1350 dan merupakan imej paling popular dalam brosur pelancongan Thailand), Wat Chaiwatthanaram (dibina pada tahun 1630 dan memiliki menara mengikut seni bina diraja Kemboja) dan Wat Phra Mahathat (dibina pada tahun 1374).

PENULIS bergambar di hadapan kuil Wat Phra Si Sanphet berusia 658 tahun dan merupakan imej paling popular dalam brosur pelancongan Thailand.
________________________________________

BERGAMBAR di hadapan sebuah kuil yang terdapat dalam kawasan The Grand Palace, Bangkok.
________________________________________
Terdapat kira-kira 95 buah kuil purba di Ayutthaya yang sebahagian besarnya terletak di Ayutthaya Historical Park.
Bandar purba ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada tahun 1981.
Pada malamnya, kami berempat sempat menjelajah sebuah bazar malam yang menjual hampir semua barangan keperluan rumah termasuk perabot. Di sini juga, senjata api dijual tanpa sekatan. Makanan eksotik seperti katak, lipas, cengkerik, belalang dan ulat yang telah digoreng nampaknya laris dijual.
Dalam sibuk saya memilih kerongsang daripada batu jed, saya terlihat sebuah pentas dikerumuni pengunjung. Di atas pentas, sebaris wanita berpakaian hanya coli dan seluar dalam sedang asyik menari mengikut alunan muzik yang rancak.
Dari jauh, saya melihat terdapat lapan penari kesemuanya. Rupa-rupanya, mereka mengambil bahagian dalam pertandingan tarian rancak.
Apabila muzik dibunyikan, mereka akan menari mengikut gaya sendiri. Setiap kali muzik berhenti, juri akan memilih seorang peserta untuk disingkirkan. Seorang demi seorang penari tersingkir tetapi kami tidak menunggu sampai habis persembahan itu.

________________________________________
Keesokan harinya pada awal pagi, kami menaiki van ke Kanchanaburi untuk melihat jambatan bersejarah peninggalan Perang Dunia Kedua di Sungai Kwai.
Lawatan ini hanya sempat dilakukan setengah hari sahaja kerana Kak Kay menyedari bahawa dia tertinggal pasport dan dompet di Jitvilai House, Ayutthaya. Terpaksalah kami berpatah balik dan syukur kerana semuanya ada di dalam dompet Kak Kay. Selepas itu, barulah kami lega untuk meneruskan perjalanan kereta api menuju ke Chiang Mai.