
KOLAM terbuka air panas ini sesuai untuk pengunjung lelaki dan kanak-kanak mandi-manda.
KEESOKAN paginya, barulah kami dapat melihat panorama sekeliling. Dari bibir kawah, jelas kelihatan wajah sebenar kota Tasikmalaya. Sejauh mata memandang, mata kami disajikan dengan panorama pepohon yang menghijau. Memandang arah ke lantai kawah, mata kami terpaku melihat sebuah tasik besar yang terbentuk daripada letusan Gunung Galunggung pada tahun 1982. Air tasik tenang dibayangi warna hijau kebiruan.
Uniknya tentang air di tasik ini kerana ia dijaga rapi agar kapasitinya tidak melebihi 1 juta m3. Jika berlakunya hujan lebat, lebihan air akan dialirkan melalui terowong khas yang dibina menuju ke Sungai Cibanjaran dan Sungai Cikunir yang terletak di timur kawah.
Tanpa terowong ini, dinding kawah akan melimpahkan air bah yang dahsyat seperti yang pernah terjadi di Gunung Kelud di Kediri, Jawa Timur pada tahun 1920-an.
Di lantai kawah, kami dapat melihat sebuah masjid yang terletak di sebelah kiri tapak perkhemahan. Kelihatan beberapa khemah pendaki yang masih tegak berdiri kerana mungkin pemiliknya masih leka bersantai. Turut kelihatan, aliran sungai dan batu-batuan yang berselerak.
Kami bergambar sakan dan tidak lama kemudian, beberapa pemilik kedai sampai bersama barangan jualan mereka.
"Kenapa pak... gerai ini tiada bumbungnya,'' tanya saya yang sejak semalam masih musykil tentang hal itu.
"Angin terlalu kuat bertiup sejak tiga bulan lalu. Habis tercabut bumbungnya, lantas tidak diganti hingga sekarang. Tunggu angin reda...,'' kata seorang penjual sambil memberitahu keadaan itu adalah biasa dalam bulan-bulan tertentu di Galunggung.
Selesai berkemas, kami menuruni lereng gunung dengan meniti anak-anak tangga yang dilalui semalam. Sebaik tiba di tempat parkir, kami sekali menaiki ojek dan terus menuju ke sebuah destinasi percutian di kolam air panas Cipanas. Sungai air panas yang mengalirkan air ke kolam ini terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat parkir ojek.
Terdapat kolam terbuka tetapi biasanya pengunjung wanita memilih untuk mandi di dalam bilik tertutup (setiap bilik mempunyai sebuah kolam kecil) dengan bayaran kira-kira RM1.00 seorang.
Oleh kerana hujan, kami sekadar duduk melepak di pondok rehat sambil menikmati kopi susu panas. Sebaik hujan reda, kami menaiki sebuah van yang membawa kami ke stesen bas
Tasikmalaya.
Berakhirlah ekspedisi ke Gunung Galunggung dan bermulalah, aktiviti santai yang lain iaitu menjelajah bumi Garut yang terletak kira-kira 60km dari Tasikmalaya.
No comments:
Post a Comment